DUNGUN - Hanya selepas berusia 63 tahun, hasrat seorang warga emas untuk memiliki lesen memandu tercapai menerusi program Satu Komuniti Satu JPJ (SKSJ) yang dijalankan di SK Padang Pulut, di sini, baru-baru ini.
Daud Samat berkata, walaupun sebelum ini tidak mempunyai lesen memandu, dia tetap menunggang motosikal ke tempat bekerja di sebuah ladang di sini dan kadang-kala ke bandar ini untuk melakukan urusan penting.
Bagaimanapun, menurutnya, dia sering risau ketika menunggang motosikal dan cuba mengelak daripada bertembung polis atau penguat kuasa JPJ.
“Saya tak ambil lesen kerana ujiannya agak sukar dan penglihatan saya juga tidak berapa jelas.
“Biarpun tiada lesen, tapi saya lebih berhati-hati ketika memandu supaya tidak datangkan bahaya di jalan raya. Saya juga sering berdebar-debar jika bertembung polis atau penguat kuasa JPJ.
“Memang saya lari kalau terpandang polis atau JPJ kerana risau ditahan. Apabila program ini dianjurkan, saya tidak lepaskan peluang kerana hanya bayar RM160, saya kini memiliki lesen B2,” katanya ketika ditemui pada program berkenaan.
Hadir sama, Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Ceupacs), Datuk Azih Muda; Pegawai Pembangunan Dungun, Datuk Din Adam dan Pengarah JPJ Negeri, Abdul Rahman Emang Anyie.
Seorang lagi peserta, Che Azhari Hamzah, 56 berkata, ketika remaja dia pernah mengambil ujian memandu sebanyak dua kali tetapi tidak lulus.
Menurut Che Azahari, memang agak susah bila tidak ada lesen memandu kerana perlu menggunakan kenderaan untuk bergerak ke mana-mana atas pelbagai urusan harian.
“Dulu jika ternampak kelibat penguat kuasa JPJ atau polis saya akan larikan diri, tapi sekarang tak perlu lagi kerana undang-undang dapat dipatuhi.
“Bukan sengaja nak langgar peraturan jalan raya, tetapi semua urusan harian memerlukan saya bergerak menggunakan motosikal.
“Saya amat berterima kasih kepada kerajaan termasuk pemimpin di kawasan ini kerana menganjurkan program yang bermanfaat seperti ini,” katanya.
Sempena program berkenaan seramai 284 peserta terdiri daripada penduduk setempat yang berusia 45 tahun ke atas berjaya mendapat lesen memandu. SINARHARIAN
DOH GUANE BESO NGAK LESEN TUH??
0 Response to "WARGA EMAS DARI PADANG PULUT AKHIRNYA BERJAYA MILIKI LESEN MEMANDU"
Post a Comment